Che Asri Ali
Che Asri Ali

Yang Dipertua Perkasa Kelantan, Che Asri Ali berkata, pihaknya menyokong penuh sekatan yang dibuat oleh masyarakat Orang Asli di beberapa kawasan di Gua Musang bagi menghalang aktiviti penebangan balak di situ.

"Apa yang berlaku itu adalah satu bentuk penganiayaan terhadap masyarakat Orang Asli tempatan.

"Kerajaan negeri melalui syarikat yang dilantik melakukan aktiviti penebangan di kawasan berkenaan perlu hentikan aktiviti mereka segera," katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Tiga sekatan dibuat oleh Orang Asli di kawasan Hutan Simpan Gunung Stong Selatan sejak Khamis lalu sebagai bantahan terhadap penerokaan hutan serta tanah adat mereka bagi tujuan pembalakan, projek perladangan dan penanaman durian 'Musang King'.

Sekatan itu dibina di Chawas, Gua Cha dan Pos Gob.

Mengulas lanjut, Che Asri berkata, kerajaan negeri digesa lebih peka dan memikirkan secara mendalam kesan yang bakal ditanggung Orang Asli sekiranya persekitaran mereka terancam.

"Ini melibatkan hak asasi masyarakat Orang Asli yang turun-temurun menjadi penghuni di kawasan tersebut," katanya. - UTUSAN ONLINE