Cerita mereka kurang di­kongsi di laman Facebook, berbanding segelintir selebriti yang popular hanya kerana gemar menayangkan perkara sia-sia dan mengada-ngada di media sosial, tanpa langsung membawa manfaat kepada masyarakat.

Bagi yang belum pernah mendengar kisah mereka, Muhammad Allif bertanggungjawab mewujudkan Taman Al-Quran di Taman Sri Rembau yang memberi bimbingan al-Quran secara percuma kepada kanak-kanak dari keluarga miskin dan anak yatim.

Kelas pengajian dijalankan pada waktu petang dan malam di dalam dua buah bas lama yang diubah suai. Setiap bas mampu menampung sehingga 30 pelajar pada satu-satu masa. Kini mereka juga sudah mempunyai kontena bagi tujuan itu.

Yang istimewanya, dia memulakan projek itu dengan kudrat dan kemampuan sendiri dan kini mempunyai tiga tenaga pengajar. Muhammad Allif berhenti kerja sebagai guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain demi memberi k­hidmat sepenuh masa di Taman Al-Quran.

Walaupun tanpa sumber pendapatan tetap, baginya yang penting anak-anak muda di Rembau dan Seremban dapat dibantu mengenal huruf, tajwid dan mengaji dengan betul serta diisi dengan ilmu al-Quran.

Cerita Mohd. Zatullah juga hampir sama. Pengurus Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina di Taman Satria, Senawang yang menyediakan van komuniti bagi menghantar pesakit ke hospital atau klinik kesihatan tanpa sebarang bayaran.

Mereka yang benar-benar susah hanya perlu menghubungi nombor telefon yang tertera di hadapan van untuk mendapatkan perkhidmatan itu. Tidak perlu keluarkan duit tambang atau duit minyak bagi perjalanan pergi dan balik. Sebaliknya, difahamkan dia kerap mengeluarkan wang dari po­ketnya sendiri untuk penumpang membayar tambang teksi, sekiranya dia tidak sempat menjemput mereka.

Pusat jagaan anak yatim yang diusahakannya juga dibuat secara sukarela hasil bantuan enam lagi adik-beradiknya dan terdapat kira-ki­ra 15 anak yatim berusia antara tujuh hingga 15 tahun bernaung di pusat itu.

Penulis membangkitkan isu kesungguhan dua individu ini yang boleh dijadikan inspirasi kepada kita bahawa dalam dunia yang semakin bersifat individualistik, masih ada ma­nusia berjiwa besar seperti mereka.

Ganjaran kewangan dan keuntungan peribadi tidak pernah ada dalam agenda mereka kerana semuanya dibuat demi masyarakat. Bunyinya agak klise tetapi bukan semua orang boleh menyerahkan sepenuh jiwa dan hati untuk kerja amal.

Jika kita tidak mampu membuat kebaikan besar seperti dua pemuda itu, boleh bermula dengan perkara kecil asalkan bermanfaat. Kadangkala usaha kecil boleh mencetuskan impak besar kepada orang ramai. Dua anak muda itu berjaya mencapai apa yang kadangkala tidak mampu dibuat oleh agensi atau organisasi besar walaupun mempunyai dana dan kakitangan yang ramai.

Kisah mereka mengingatkan kita bahawa dalam hidup ini bukan semuanya adalah hak kita, adakalanya kita perlu memberi. Bak kata bijak pandai, orang yang hanya tahu mengambil, tetapi tidak tahu memberi tidak akan mengecap bahagia.