Individu yang memuat naik gambar cendol durian Musang King berharga RM114 untuk tiga mangkuk dalam media sosial baru-baru ini sememangnya bertuah kerana pemilik kedai itu menawarkan cendol percuma selama setahun.

Pemilik Raja Cendol Taming Sari, Muhammad Ariff Qayyum Mohd. Zambri, 25, berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan pemilik akaun Facebook yang dipercayai bertindak memuat naik resit bayaran cendol di kedainya itu dalam laman sosial sehingga tular.
 
Katanya, usaha mencari individu berkenaan adalah bagi mengucapkan terima kasih selain memberi ganjaran kepadanya.

“Saya berharap individu yang mengambil gambar resit bersama tiga mangkuk cendol Musang King itu dapat tampil dan berjumpa kami.

“Selain itu diharap dia membawa sekali resit pembelian asal sebagai bukti dan kami akan memberinya ganjaran cendol durian Musang King percuma selama setahun," katanya ketika ditemui digerainya di Menara Taming Sari di sini hari ini.

Baru-baru ini, sekeping gambar tular dalam media sosial memaparkan tiga mangkuk cendol durian Musang King beserta sekeping resit tertera harga RM114 dari premis milik Muhammad Ariff Qayyum.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tujuan sebenar pembeli cendol berkenaan sama ada untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap harga cendol Musang King yang dibelinya atau sekadar ingin berkongsi pengalaman menikmati cendol durian premium itu.

Mengulas lanjut, Muhammad Ariff Qayyum berkata, selepas tularnya kejadian itu dia dan pekerjanya tidak ‘menang tangan’ melayan pelanggan yang datang ke kedainya untuk menikmati cendol durian Musang King.

“Berikutan tular gambar cendol itu, kami hampir terputus bekalan durian jenis Musang King sehingga saya terpaksa mendapatkan bekalan tambahan,” katanya.
 
Malah kata usahawan muda itu, hasil jualan turut meningkat dua kali ganda dan disebabkan dia ingin berjumpa individu berkenaan untuk mengucapkan terima kasih.  - UTUSAN ONLINE