MENGGALAS tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan yang strategik dan berpotensi besar bukan sesuatu yang mudah.

Sebaliknya, ia memerlukan kajian menyeluruh dan perancangan yang teliti dalam usaha membawa pembangunan yang pesat di kawasan tersebut.
DATUK DR. JOACHIM GUNSALAM ketika ditemubual wartawan Utusan Malaysia, FAUZI SUHAIMI bersama jurufoto, IRWAN MAJID baru-baru ini berhasrat mahu membawa perubahan lebih besar terhadap kawasan itu dalam semua aspek.
Gerak kerja ke arah memantapkan sektor pelancongan dan pertanian terus diperkasa bagi memastikan kedua-dua industri utama di Kundasang itu mampu dikembangkan setanding dengan kawasan lain.
UTUSAN MALAYSIA: Dalam tempoh pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Kundasang, apakah yang dibawakan untuk pembangunan setempat?
DATUK DR. JOACHIM: Jika dikira, terlalu banyak pembangunan telah dilaksanakan di kawasan ini mencakupi semua aspek iaitu pembangunan kemajuan, kebajikan, memacu ekonomi setempat, infrastruktur, kesejahteraan rakyat dan potensi Kundasang untuk menjadi pusat pelancongan bertaraf dunia.
Usaha itu telah lama dilaksanakan dan ianya dilakukan mengikut fasa dan peringkat bagi memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat dilakukan secara saksama.
Sehingga hari ini, pelbagai kemudahan disediakan di pekan ini, termasuk pembinaan sekolah baharu, jalan raya ke status yang lebih bagus dan promosi dalam memperkenalkan produk pelancongan bagi tujuan peningkatan ekonomi penduduk setempat.
Kundasang mempunyai kelebihan tersendiri. Apakah yang akan dilaksanakan BN jika terus mendapat mandat rakyat menerusi PRU-14?
Sudah tentu perubahan yang lebih besar akan dilakukan yang bersifat lebih menyeluruh dalam semua aspek.
Pertamanya, aspek pelancongan yang sememangnya tidak asing lagi di kawasan ini.
Usaha ke arah memantapkan industri itu giat dilaksanakan dengan menawarkan lebih banyak produk pelancongan khususnya di kawasan luar bandar.
Bidang pertanian yang cukup terkenal dan turut menjadi pengeluar kepada sayuran tanah tinggi akan dibangunkan dengan memastikan hasil pengeluaran produk-produk yang lebih berkualiti dan mampu dipasarkan ke luar negara pada suatu hari nanti.
Bagaimanakah tahap kesiapsiagaan jentera BN untuk berdepan PRU-14?
Kekuatan jentera baik daripada PBS dan UMNO, ia sudah berada di tahap terbaik. Dengan kata lain, semua gerak kerja ke arah mendekati atau menawan hati rakyat dilakukan secara menyeluruh dan berjadual.
Program saya bersama masyarakat setempat juga tidak per nah terhenti.
Ia ternyata jauh berbeza berbanding pembangkang. Semua sedia maklum taktik pembangkang iaitu cuma mendekati rakyat ketika musim pilihan raya sahaja.
Sasaran yang diletakan BN dalam PRU-14?
BN mempunyai rekod terbaik di kawasan ini. Sokongan rakyat juga terbukti lebih besar kepada BN atas faktor pembaharuan yang telah dibawakan di kawasan ini.
Saya yakin dan percaya rakyat bijak menilai dan memilih nanti. Menerusi kepercayaan ini, saya meletakkan keyakinan penuh bahawa BN akan terus mengekalkan kerusi DUN ini dalam pilihan raya nanti
Apakah nasihat Datuk Dr. Joachim kepada rakyat dan pembangkang?
Saya berharap agar rakyat terus menzahir atau menterjemahkan sokongan penuh dengan memilih calon BN dalam PRU-14 nanti. Ini kerana melihat kepada kejayaan yang dibawa oleh kerajaan sedia ada dalam mengubah nasib hidup rakyat, sekali gus membawa pembangunan yang pesat di kawasan ini.
Kepada pembangkang, berpolitiklah dengan jujur dan ikhlas.
Janganlah sesekali menggunakan politik kebencian semata-mata untuk meraih undi simpati daripada rakyat.
Bahana AS di Baitulmuqaddis