Dengan aroma ikan yang dibakar menusuk hidung pastinya membangkitkan selera pelanggan.

Bagi yang kerap singgah di kawasan itu sudah tentu tidak asing dengan ikan bakar yang di­sajikan di gerai Che Yeh Seri Melaka.

Menurut pemiliknya, Kamariah Dorani, 56, dia menjual pelbagai jenis ikan bakar antaranya ikan pari, keli, terubuk, siakap, tilapia, cencaru dan kembung. Sotong bersaiz besar, udang dan kerang juga terdapat di gerainya.

Katanya, lagi, keistimewaan ikan bakar yang di gerainya terletak pada keenakan air asam yang dihasilkan daripada resipi turun-temurun.

“Ikan pula diperap bersama bahan-bahan seperti cili api, cili merah,­ tomato, limau kasturi dan asam jawa selama lebih kurang dua hingga tiga jam sekali gus menjadikan hidangan ini lebih enak,” katanya­ ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, harga bagi ikan bakar juga sangat berpatutan iaitu antara RM7 hingga RM25.

Harga bagi sotong, udang dan kerang bakar pula antara RM3 hingga RM20.

Beroperasi pada pukul 10.30 pagi hingga 4 petang (kecuali Jumaat) gerai ini terletak di No. 2, Jalan Bellamy, Bukit Petaling, Kuala Lumpur.