Sebut sahaja Bukit Broga yang terletak di Timur Semenyih, Gua Damai di Selayang dan Bukit Kutu serta Bukit RM2 di Hulu Selangor, destinasi itu bagai rumah kedua mereka.

Sayangnya, disebabkan ke­gagalan pihak bertanggu­ng­jawab melakukan kerja-ker­­ja pemantauan ada pihak yang me­ngambil kesempatan terhadap destinasi pe­lancongan itu.

Dan bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika satu hari nanti destinasi tersebut hanya tinggal pada nama sahaja.

Bagi penulis kerajaan nege­ri tidak pernah mengambil sebarang iktibar mahupun pengajaran daripada apa yang berlaku terhadap Bukit Broga pada pertengahan Ogos lalu.

Arahan penutupan buat sementara waktu selama tiga bulan semua aktiviti rekreasi dan pelancongan di Bukit Broga itu membuktikan itulah pilihan terakhir yang terpaksa dibuat.

Penutupan berkuatkuasa bermula 18 Ogos lalu itu bertujuan membolehkan kerja-kerja mitigasi atau pemulihan tanah dilaksanakan dengan serta-merta oleh Jabatan Kerja Raya akibat daripada aktiviti penerokaan di atas tanah kerajaan seluas 57.2 hektar itu.

Langkah penutupan ini adalah perlu bagi memastikan keselamatan pengunjung yang mendaki dan berekreasi di Bukit Broga serta menge­lakkan sebarang perkara tidak diingini yang mungkin berlaku akibat daripada pene­rokaan tanah berkenaan.

Kunjungan penulis ke Bu­kit RM2 di Hulu Selangor baru-baru ini untuk melakukan aktiviti pendakian di kawasan bukit setinggi 250 meter dari paras laut itu sedikit terkejut.

Berdasarkan kepada pe­merhatian kiri kanan laluan balik dari bukit itu menjadi tapak pelupusan sampah pukal oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga men­cemarkan per­sekitaran.

Kemungkinan Bukit RM2 menerima nasib seperti Bukit Broga tidak mustahil jika pemantauan dan tindakan oleh pihak Majlis Daerah Hulu Se­langor, sebagai pihak berkuasa tempatan di daerah itu tidak dilakukan.

Sebelum ini ramai yang mahu menikmati kehijauan alam semula jadi dari puncak Bukit RM2, namun usah terkejut jika satu atau dua bulan lagi daya tarikannya bakal hilang apabila muka buminya ditimbuni sampah sarap.

Ambillah iktibar daripada apa yang berlaku kepada Bukit Broga sebelum ini, jangan pandang mudah. Mencegah itu lebih baik daripada me­ngubati!.