Pengarah hospital, Datin Paduka Dr. Hasni Hanapi berkata, program berkhatan beramai-ramai berkenaan merupakan sebahagian aktiviti kemasyarakatan hospital berkenaan bermula tahun lepas.

"Berikutan sambutan yang menggalakkan itu, majlis ini kini menjadi acara tahunan sempena cuti sekolah," katanya semasa merasmikan majlis berkenaan hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supt. Nek Zaidi Zakaria dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Azmel Kamarudin.

Tambah Hasni, pada masa kini, masyarakat tidak mengira agama telah memahami kepentingan berkhatan yang antaranya mampu mengurangkan risiko jangkitan penyakit bawaan seks termasuk HIV.

Pada majlis yang sama, seramai 25 kanak-kanak dari Pusat Penjagaan Kanak-kanak Cacat Klang dan 38 orang penghuni Rumah Jagaan Nur Ikhwan Klang turut diraikan. - BERNAMA