Kem selama dua hari anjuran sekolah tersebut dengan kerjasama Syarikat Sarjana Consultancy itu disertai pelajar cemerlang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Lebih menarik, program tersebut turut disertai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Hashim Ismail yang sama-sama berkampung selama dua hari bersama pelajar-pelajar terbabit.

Hashim berkata, menerusi program tersebut, para pelajar didedahkan dengan beberapa slot motivasi yang bertujuan meningkatkan semangat jati diri mereka.

Katanya, selain beliau, beberapa ahli akademik lain telah dijemput untuk menyampaikan ceramah pada program tersebut.

“Antara yang memberi ceramah pada kem itu ialah, pensyarah kanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Mohd. Nawi Ismail dan Pegawai Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Azmi Yahya.

“Pada kem itu, saya menyampaikan ceramah atau motivasi bertajuk Lonjakan Berganda manakala Azmi menyampaikan ceramah bertajuk Membina Psikologi Kerjaya Dalam Kumpulan Dinamik,” katanya selepas majlis penutup program ber- kenaan.

Beliau berharap program seperti ini akan dapat memberi semangat kepada pelajar dalam menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.

Sementara itu, seorang pelajar, Mohd. Assyafie Aziz, 17, berkata, program itu amat berguna kepada para pelajar bagi membakar semangat mereka dalam menghadapi pe- periksaan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu sekolah. Kami beruntung dapat mendengar motivasi daripada pakar motivasi profesional yang disediakan secara percuma kepada pelajar di sekolah ini,” katanya.