Pelepasan peserta disempurnakan oleh Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Ab. Halim 
Hassan dalam satu majlis ringkas di Pejabat Pendidikan Daerah Besut sebelum peserta berlepas 
ke Kota Kinabalu, Sabah di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan.
 
Penyelaras program, Kamaruzaman Senik berkata, program tersebut merupakan salah satu 
aktiviti pendidikan luar untuk guru dan pelajar selain susulan aktiviti serupa selepas pendakian 
Gunung Tahan, tahun lalu.
 
"Ia juga salah satu aktiviti kokurikulum pelengkap proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di 
bilik darjah untuk memberi pendedahan, cabaran mental dan fizikal  peserta serta merealisasikan 
moto 'Besut Jogho (Juara) Besut Cakna'," katanya di sini hari ini.  
 
Menurutnya, para peserta akan ke Kundasang esok sebelum memulakan pendakian Gunung 
Kinabalu yang ketinggiannya mencecah 4,095  meter dari aras laut yang merupakan tertinggi di 
Pulau Kalimantan dan di Asia Tenggara.
 
Tambahnya, peserta dijangka tiba di puncak Kinabalu pukul 1.30 pagi 15 Februari dan kira-kira 
enam jam kemudian akan sampai di Laban Rata sebelum kembali ke Kota Kinabalu.
 
Majlis penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta dijadual akan disampaikan oleh Ab. 
Halim dalam satu majlis di Kota Kinabalu kira-kira pukul 8.30 malam hari berkenaan. - UTUSAN 
ONLINE