Timbalan Menterinya, Datuk Halimah Sadique berkata, peruntukan di bawah program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) itu telah disalurkan termasuklah bagi keperluan sembilan projek rumah berstrata kos rendah dan sederhana rendah swasta di bandar raya ini manakala selebihnya di beberapa daerah lain.

Katanya, kerja-kerja yang dilakukan termasuk mengecat semula bangunan; mengganti bumbung, tangga dan susur tangan; pendawaian semula elektrik; membaik pulih sistem retikulasi; membina pagar di samping membaiki kerosakan harta bersama.

"Bagi tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan peruntukan RM200 juta melalui TP1M di seluruh negara agar lebih banyak program dapat digerakkan untuk keperluan rakyat yang menghuni kediaman sedemikian.

"Peruntukan ini diturunkan supaya dapat mengembalikan keselesaan di samping menceriakan suasana tempat tinggal rakyat dalam kawasan flat kos rendah dan sederhana rendah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Bagi Projek TP1M 2017 Terengganu di perumahan Taman Sri Kolam di sini petang semalam.

Yang hadir sama,  Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Zamri Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Mohd. Jidin Shafee; Datuk Bandar, Samiun Salleh dan Pengerusi Perbadanan Pengurusan Taman Sri Kolam, Mohd. Khalib Mohd.

Perumahan Taman Sri Kolam dibangunkan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) pada tahun 1995, melibatkan enam blok yang menempatkan 434 unit kediaman dengan kira-kira 1,700 penghuni.

Halimah memberitahu, walaupun permohanan TP1M terbuka kepada semua badan pengurusan bersama (JMB) dan perbadanan pengurusan (MC) bagi perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah swasta yang usianya melebihi 10 tahun, namun skop bantuan yang layak dipohon masih tidak begitu diketahui.

Justeru, beliau meminta pihak terlibat termasuk pesuruhjaya bangunan (COB) agar memainkan peranan dalam memberi makluman dari semasa ke semasa kepada penduduk menerusi perjumpaan, lawatan kerja atau sesi dialog yang diadakan.

"Ada kalangan penghuni tidak tahu terdapat 10 skop bantuan yang boleh dipohon melalui TP1M, jadi kalau COB tengok kawasan flat berkenaan sudah daif dan perlu dinaik taraf, maka
 mereka boleh memberi cadangan kepada JMB supaya dapat membuat perubahan," katanya.

Dalam majlis itu, Halimah turut meluluskan peruntukan segera sebanyak RM200,000 bagi pembinaan gelanggang futsal di  Taman Sri Kolam. - UTUSAN ONLINE