Presiden UMNO itu berkata, pengundi di Parlimen Bukit Katil perlu ada tiga prinsip iaitu roh perjuangan yang tinggi untuk parti, wala atau setia kepada pemimpin serta kepemimpinan yang padu untuk merampas kembali kerusi Parlimen tersebut.

"Agak aneh bagaimana kita Barisan Nasional (BN) boleh kalah di kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Bukit Baru pada pilihan raya umum lalu walaupun kita kuat di Parlimen (Bukit Katil).

"Jadi saya seru kepada pengundi iaitu perlu ada tiga prinsip iaitu wala, padu dan roh perjuangan untuk kembali merampas Parlimen Bukit Katil," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Katil di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Haron; Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan barisan kepemimpinan setempat. - UTUSAN ONLINE