Walaupun rundingan TPP-11 belum mencapai konsensus, malah mesyuarat peringkat ketua-ketua kerajaan yang dijadual berlangsung di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2017 di bandar peranginan ini petang semalam, terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir, Perdana Menteri berkata, kesimpulan yang dibuat adalah pakatan itu masih memerlukan masa untuk menandatangani perjanjian perdagangan berkenaan.

"Walaupun tidak ada konsensus lagi, tidak bermakna TPP-11 ini terkubur. Tidak. Apa yang kita simpulkan, masa masih diperlukan untuk kita mencapai kata sepakat," katanya bercakap kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerjanya ke sidang kemuncak ini tengah malam tadi.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis makan malam rasmi ketua-ketua negara APEC yang dihoskan oleh Presiden Vietnam Tran Dai Quang di Sheraton Danang di sini. Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Duta Malaysia ke Vietnam, M. Zamruni Khalid.

TPP-11 yang diuar-uarkan akan 'bangkit semula' tanpa Amerika Syarikat pada mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pukul 3.30 petang semalam di sini, tidak menjadi kenyataan, apabila Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, tidak hadir 'tanpa notis awal' menyebabkan 10 anggota lain terpaksa menunggu selama sejam.

Najib berkata, keadaan itu memang tidak dijangka kerana tidak ada petunjuk bahawa akan berlaku masalah dalam jadual TPP-11 petang semalam. Tambahan pula ujarnya, tidak ada alasan spesifik yang diberikan oleh Kanada.

"Namun kebanyakan ketua TPP percaya masalahnya lebih politikal daripada substantif dan ada kaitannya dengan masalah politik dalaman negara itu," ujarnya.

Perdana Menteri berkata, dalam hal ini, ketua-ketua pakatan perdagangan itu secara umumnya memahami bahawa ada dua elemen yang perlu diberi perhatian oleh anggota TPP iaitu pertama, aspek substantif dan satu lagi dari segi penerimaan politik.

"Ada pihak yang kata, mereka kena tunggu sebab mereka ada soal politik domestik yang perlu dihadapi dan tangani terlebih dahulu.

"Saya percaya keinginan mereka ialah untuk menyertai TPP tetapi mereka tidak dapat ambil risiko penentangan pengundi-pengundi tempatan dalam hal ini," katanya.

Menurut Perdana Menteri, seperti Kanada dan negara lain, Malaysia juga mempunyai tuntutan-tuntutan yang diperjuangkan mengikut keperluan dan kepentingan rakyat.

"Kita mahukan TPP tetapi mestilah yang mengikut terma kita. Itu yang kita katakan dari dulu lagi," katanya.

Sementara itu, Mustapa yang mengulas 'kegagalan' TPP-11 mencapai konsensus di luar Sidang Kemuncak APEC 2017  di sini semalam, berkata, keadaan itu terlalu digembar-gemburkan oleh media yang meletakkan 'harapan' amat tinggi terhadap pakatan perdagangan itu.

"Mereka yang meletakkan jangkaan masa 3.30 petang waktu mesyuarat TPP-11 semalam sebagai detik perjanjian itu dimuktamadkan. Jadi apabila mesyuarat tidak berjalan mengikut jadual, mereka membuat anggapan yang 'TPP-11 sudah gagal' sedangkan bukan itu hakikat sebenarnya.

"TPP ada peringkat-peringkat mesyuarat daripada pegawai ke tahap menteri sebelum dibawa kepada ketua-ketua kerajaan, dan tidak bermakna apa yang dicadangkan oleh menteri akan diterima semuanya di peringkat ketua," jelasnya. - UTUSAN ONLINE