Solat subuh berjemaah sudah menjadi amalan  Sultan Abdullah namun kemunculan baginda kali ini lebih mencuri perhatian jemaah memandangkan baginda kini adalah Sultan Pahang yang baharu.

Baginda  tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 6 pagi sebelum menunaikan solat Subuh berjemaah diikuti talaqqi al-Quran.

Dalam keadaan santai dan tanpa banyak protokol, Sultan Abdullah kemudian bersalaman dan beramah mesra dengan orang ramai yang turut mengucapkan tahniah atas pelantikan baginda.

Para jemah turut melaungkan 'Daulat Tuanku' sebelum baginda meninggalkan masjid.

Selepas itu, baginda mencemar duli berangkat bersarapan di Restoran D'Wafi, Taman Mahkota Putra, di sini.

Turut bersama-sama mengiringi Sultan Abdullah bersarapan ialah jemaah Masjid Al Imam Ash Shafie, pegawai dan kakitangan baginda.

Semalam, Sultan Abdullah diumumkan dilantik sebagai Sultan Pahang keenam dalam era moden bagi menggantikan ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah yang gering berkuat kuasa serta merta.

Pelantikan itu dibuat selepas dipersetujui oleh ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri yang bersidang di Kuala Lumpur kelmarin.

Pengumuman berhubung pelantikan berkenaan dibuat oleh Timbalan Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini.

Istiadat pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang akan diadakan di Istana Abu Bakar pada Selasa ini. - UTUSAN ONLINE