PROF. DATUK DR. MUSA AHMAD
PROF. DATUK DR. MUSA AHMAD 

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, universiti itu tidak menghadapi masalah untuk melaksanakan perkara berkenaan kerana telah menguatkuasakan kampus larangan merokok dan vaping sejak 1 Januari 2016.

"Sebagai sebuah universiti Islam, USIM perlu selari dengan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 pada 23 Mac 1995 yang memutuskan bahawa merokok adalah haram kerana terdapat kemudaratan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Musa berkata, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) USIM telah diberi mandat oleh pihak pengurusan universiti bagi melaksanakan kempen USIM sebagai kampus larangan merokok dan vaping secara meluas.

"Banyak program dan aktiviti yang telah dilaksanakan antaranya ceramah kanser, klinik berhenti merokok setiap Rabu, melantik pegawai penguatkuasaan dalam kalangan staf dalaman universiti, kompaun serta aktiviti kesedaran tidak merokok dan berhenti merokok," katanya.

Beliau berkata, pada tahun lalu USIM turut menerima penghargaan Anugerah Sijil Blue Ribbon daripada Kementerian Kesihatan kerana komited dalam melaksanakan kempen bagi memastikan premis bebas asap rokok. - UTUSAN ONLINE