Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lawatan kerja yang dilakukan adalah sebahagian daripada tugasan seorang menteri.

"Saya tidak fikir apa yang dilakukan sekarang melanggar etika kerana saya menjalankan tugas melawat dan berbincang.

"Semua ini tidak ada kena mengena dengan pilihan raya," katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Batalion 4, Pasukan Gerakan  Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, beliau akan terus melakukan lawatan kerja di seluruh nehara untuk menjelaskan dasar kerajaan baru.

Semalam, gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menegur sikap  para pemimpin PH terutamanya menteri dan timbalan menteri agar meletakkan standard etika yang tinggi berdasarkan kepada prinsip pilihan raya bersih dan adil. 

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, lawatan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq ke Semenyih hanya se­minggu sebelum tarikh penamaan calon termasuk pemberian minyak hitam motosikal percuma telah menimbulkan syak wasangka bahawa beliau menggunakan kapasiti sebagai menteri untuk berkempen. - UTUSAN ONLINE