Perdana Menteri menyifatkan sambutan rakyat terhadap ekspo itu juga sebagai salah satu kayu pengukur sama ada rakyat menyenangi, dapat menerima apa yang telah dilaksana dan dirancang kerajaan negeri atau pun sebaliknya.

Jelasnya, ukuran sambutan itu berdasarkan kepada jumlah pengunjung selain dari segi paparan atau pengisiannya menepati kehendaki rakyat yang mampu mencetuskan semangat serta inspirasi baharu untuk sama-sama menentukan hala tuju yang lebih bermakna.

"Saya boleh beri markah yang sangat tinggi kepada kerajaan Terengganu kerana jumlah pengunjung ke ekspo ini di luar jangkaan," katanya ketika berucap menutup Ekspo Terengganu 2018 di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak dekat sini  hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Ekoran sambutan hebat itu juga, kerajaan negeri melanjutkan ekspo yang bermula 25 Februari lalu  sehari lagi, iaitu sehingga pukul 6 petang esok bagi memberi kesempatan kepada mereka yang belum berkunjung.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Mohd Izani Embong, 42, memberitahu, beliau
hadir bukan kerana tarikan cabutan bertuah  tetapi bagi melihat perkembangan semasa negeri ini dalam satu tempat, dan sesuai pula datang bersama keluarga.

"Kita boleh berlama di sini, dari satu ruang ke satu ruang, melihat apa yang telah dicapai oleh rakyat dan negeri serta mendapatkan perkhidmatan yang disediakan di tapak ekspo," ujar kakitangan swasta yang berasal dari Dungun.-UTUSAN ONLINE