Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Maimunah Suhaibul berkata, sebanyak 53 sekolah mencatat kelulusan 100 peratus tahun lalu berbanding 41 buah sekolah pada 2015.

“Gred Purata Nilai Kumulatif (GPNK) menunjukkan peningkatan sebanyak 0.07 peratus iaitu 2.58 pada 2016 berbanding 2.51 pada tahun sebelumnya, manakala jurang perbezaan GPNK antara Sabah dan kebangsaan semakin mengecil iaitu sebanyak 0.13 (2016) berbanding 0.14 pada 2015.

“Ini membuktikan pencapaian prestasi STPM negeri ini semakin baik dan kita berbangga dengan segala usaha yang telah dilakukan oleh para calon serta warga Jabatan Pendidikan,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM di Wisma Pendidikan Sabah, di sini hari ini.

Keputusan itu diumumkan oleh Ketua Sektor, Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan, Bad Hamid Musli yang mewakili Maimunah.

Maimunah berkata, calon yang memperolehi kelulusan penuh lima prinsipal adalah seramai 158 orang atau 2.48 peratus berbanding 109 orang (1.80 peratus) pada 2015, empat prinsipal (4,138 orang atau 65.05 peratus), tiga prinsipal (1,025 atau 16.11 peratus), dua prinsipal (585 atau 9.20 peratus) dan satu prinsipal pula adalah 338 orang atau 5.31 peratus.

Menurut beliau, sebanyak 21 mata pelajaran telah diambil oleh calon STPM di seluruh negeri.

“Sebanyak 15 daripada 21 mata pelajaran yang diambil oleh calon STPM tahun lalu menunjukkan peningkatan 
berbanding lapan mata pelajaran pada tahun sebelumnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE