Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, bagaimanapun, kerja-kerja penyediaan fasiliti untuk kawasan penginapan di Masyair itu menghampiri 50 peratus.
Katanya, kerja-kerja penyediaan kemudahan itu dilihat berjalan mengikut jadual dan akan disiapkan sepenuhnya menjelang Hari Arafah pada 9 Zulhijjah (10 Ogos) ini.
“Persiapan di Mina lebih mudah kerana kebanyakan khemah jemaah di kawasan itu telah dipasang dengan lantai jubin seramik dan hanya perlu melakukan servis alat pendingin hawa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke atas persiapan fasiliti jemaah haji Malaysia di Arafah, Muzdalifah dan Mina di sini.
Katanya, tapak jemaah Malaysia di Muzdalifah tahun ini juga berada di tempat yang sama, berbanding tahun lepas ada beberapa kumpulan jemaah yang kawasan mereka terpisah.
Menyentuh mengenai persediaan Hari Wukuf, Syed Saleh berkata, jemaah haji Malaysia akan digerakkan awal pagi pada 8 Zulhijjah  bagi mengelakkan kesesakan kerana hari tersebut adalah haji Jumaat.
Katanya, pihak Muassasah sedang berbincang dengan pihak pejabat gabenor Mekah dan polis untuk menguruskan waktu  pergerakan paling sesuai untuk jemaah haji.
Beliau berkata, beberapa penambahbaikan lain yang sedang dilakukan ialah penyediaan penyaman udara di Arafah, ambulans di tempat melontar jamrah dan lima stesen menunggu buat petugas bagi membantu jemaah ketika melontar di jamrah.
Katanya, penyediaan penyaman udara sangat penting kerana ketika ini musim panas di Arab Saudi yang mana suhu boleh mencecah sehingga melebihi 50 darjah Celsius.
“Penambahbaikan lain yang dilakukan ialah sistem penentuan lokasi tempat jemaah yang ditentukan dari awal,” tambahnya.
Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas. - UTUSAN ONLINE