Jika klik pautan laporan berita asal di sebuah portal yang tular, tajuk beritanya kini diubah setelah Guan Eng membuat pembetulan kepada perkataan ‘perang’. Nota pengarang memaklumkan perkara ini di akhir artikel tersebut. Kali ini, digunanya perkataan ‘sasaran kepada bukan Melayu’.

Bukan sahaja MCA menjauhkan diri daripada kenyataan Guan Eng itu, bahkan ruangan komen dalam artikel berita Guan Eng itu dihujani kritikan daripada warganet pelbagai kaum dan aliran politik yang marah serta kesal dengan pandangan seperti itu.

Malah ada yang tegas menyifatkan Guan Eng telah melakukan kesilapan besar dengan memilih perkataan sedemikian walaupun untuk tujuan mengkritik gabungan UMNO-Pas.

UMNO dan Pas melalui respons beberapa pemimpinnya mahu Guan Eng disiasat di bawah kesalahan hasutan memandangkan dakwa mereka terdapat kesan besar daripada pandangan sedemikian.

Bagi UMNO-Pas, ini hanya satu jalinan kerjasama politik seperti mana yang diteroka parti-parti lain dan tidak seharusnya membawa kepada isu perkauman apatah lagi ke tahap penggunaan istilah yang tidak sepatutnya.

Selepas ini dijangka disusuli laporan polis seperti mana kelazimannya. Bertambah satu lagi kerja polis tetapi yang perlu diberi perhatian ialah kesan daripada kenyataan Guan Eng itu harus ditangani tanpa emosi dengan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengendalikannya.

Warganet tanpa mengira parti jelas menolak. Perlembagaan Persekutuan sendiri tidak menghalang kerjasama UMNo-Pas. Maka pengajaran besar buat Guan Eng dan ahli politik lain. Hati-hati dan hati-hati. - UTUSAN ONLINE