Berikutan itu, Pemuda BN Sabah akan menganjurkan Kolokium Orang Muda di Hotel Tabung Haji di sini pada Rabu depan yang menghimpunkan 50 pemimpin muda akar umbi dari seluruh negeri bagi membincangkan aspirasi-aspirasi yang paling kerap diutarakan sebelum dimasukkan ke dalam manifesto parti.

Ketua Sekretariat kolokium, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kesemua pemimpin itu yang mewakili parti komponen BN sebelum ini telah menjelajah seluruh negeri untuk bertemu golongan muda bagi mengetahui hasrat dan aspirasi mereka yang akan dihimpunkan sebelum dibuat kata putus.

"Kolokium ini adalah tempat di mana setiap aspirasi orang muda itu dihimpunkan lalu kita akan bersama-sama mencari rumusan terbaik bagi dicadangkan ke dalam manifesto BN Sabah atau peringkat pusat.

"Apa sahaja aspirasi orang muda termasuk yang berkait dengan soal dasar serta penambahbaikan kepada polisi kerajaan akan diberi tumpuan untuk menghasilkan manifesto terbaik," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, kolokium yang akan dirasmikan Pengerusi BN Sabah, Yamani Hafez Musa itu bukan bersifat one-off sebaliknya merupakan susulan kepada jelajah TN50 yang telah dianjurkan di enam daerah seluruh negeri setakat ini.

Katanya, pemimpin-pemimpin Pemuda BN serta Puteri UMNO akan turut membentangkan beberapa kertas kerja membabitkan kepentingan orang muda serta turut memberi tumpuan terhadap isu-isu yang dibangkitkan di media sosial sempena kolokium berkenaan.

"Rumusan kepada kolokium itu nanti akan dibentangkan oleh Yamani Hafez dalam sidang akhbar yang akan diadakan kelak. Kami amat berharap kolokium ini akan memastikan manifesto BN nanti yang terbaik untuk orang muda," katanya.-UTUSAN ONLINE