Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pembangkang juga tidak mampu memenuhi janji PRU yang dibuat sebaliknya lebih gemar mencari isu sensasi bagi meraih simpati dan sokongan yang memecahbelahkan rakyat.

"Mereka (pembangkang) sebenarnya tiada agenda dan sebab itu berterusan meracuni pemikiran  rakyat khususnya menjelang PRU yang semakin hampir.

 Kita (kerajaan Barisan Nasional) tidak mengabaikan hak rakyat malah melaksanakan pelbagai program untuk faedah mereka sepanjang tahun, bukan bermusim," kata Azlan semasa ditemui selepas menyampaikan hak milik tanah kepada 161 peneroka Felda Rimba Mas di sini, hari ini.

Setiap peneroka diberi enam hektar, menerima dua geran termasuk untuk tapak rumah rumah seluas suku ekar dan satu geran untuk ladang. Rancangan itu yang berkeluasan lebih 1,000 hektar dibuka pada 1982 dan dimajukan dengan tanaman getah.

Azlan juga percaya  para peneroka di negeri ini menolak sepenuhnya Pakatan Harapan diketuai DAP yang dikatakan datang bermusim iaitu menjelang pilihan raya bagi menghasut golongan berkenaan.Beliau berkata, pembangkang tidak mampu memberi janji yang terbaik sebaliknya mereka mencari isu sensasi dengan tujuan meraih simpati dan sokongan selain memecahbelahkan keharmonian hidup para peneroka.

“Kumpulan ini (pembangkang) hanya datang mengikut musim, selepas musim pilihan raya berakhir, mereka pun hilang. Mereka ini tidak ada agenda cuma cuba meracuni fikiran rakyat membenci kerajaan.

“Kita yakin peneroka di Perlis ini rasional boleh nilai siapa sebenarnya yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Hak Milik Kepada Peneroka Rimba Mas di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 161 peneroka dari Felda Rimba Mas menerima dokumen hak milik ladang dan tapak rumah sekali gus menamatkan penantian 36 tahun golongan tersebut mendapat hak milik tanah untuk diwarisi.

Sementara itu, Azlan berkata, setakat ini, seramai 404 peneroka Felda di negeri ini sudah menerima 4.05 hektar ladang dan 1/4 hektar tapak rumah yang melibatkan Felda Mata Ayer dan Rimba Mas.

Katanya, manakala baki seramai 447 peneroka di Felda Chuping pula bakal memperolehi dokumen hak milik mereka dalam jangka masa terdekat.- UTUSAN ONLINE