Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, langkah itu memboleh pelajar yang berpotensi untuk terus dibimbing melalui usahasama dengan Tatiuc.

Katanya, mereka yang mencatatkan pencapaian yang baik akan ditawarkan melanjutkan pengajian terutama dalam bidang vokasional dan teknikal di institusi pendidikan tinggi  milik kerajaan negeri itu.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan mengumumkan peruntukan bagi tujuan tersebut dalam pembentangan Bajet 2019 dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada 25 November depan.

"Terdapat 146 institusi pendidikan seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz dan madrasah di Terengganu, namun hanya 80  yang sudah berdaftar (dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu) manakala bakinya masih dalam proses untuk pendaftaran.

"Tidak semua pelajar berpeluang menduduki SPM di sekolah tersebut, jadi kerajaan negeri berharap program ini akan mendapat sambutan ibu bapa dan pelajar yang berminat melanjutkan pelajaran terutama dalam bidang TVET," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Konvokesyen Tatiuc kali ke-12 yang disempurnakan Canselor Tatiuc, Tan Sri Dr. Wan Abdul Rahman Wan Yaakob  di sini hari ini. Hadir sama Rektor Tatiuc, Prof.Dr. Anuar Ahmad.

Seramai 318 graduan Diploma dan 149 graduan program Ijazah Sarjana Muda diraikan dalam majlis konvokesyen tersebut.

Satiful yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Tatiuc berkata, perincian kadar yuran yang akan dikenakan kepada pelajar menyertai program itu akan diputuskan setelah peruntukan khas diumumkan Menteri Besar Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar semasa pembentangan Bajet 2019 nanti.

"Kita akan berkolaborasi dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Yayasan Terengganu untuk membantu pembiayaan pelajar yang akan menyertai program ini terutama pelajar dari golongan kurang berkemampuan," katanya. 

Ditanya mengenai kemudahan tempat untuk pembelajaran dan penginapan pelajar  program khas tersebut nanti, beliau berkata, beliau berkata, ini tidak menimbulkan masalah kerana dalam satu masa hanya 1,200 pelajar di kolej universiti itu yang keseluruhannya boleh menampung 3,000 pelajar. -UTUSAN ONLINE