Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, jumlah itu melibatkan penyerahan sumbangan sebanyak RM400 untuk setiap asnaf.

“Ia dijalankan menerusi program Hijrah Minda yang diadakan secara dwimingguan,” titah baginda.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli menerima sumbangan zakat perniagaan bagi pihak MAIPs daripada Affin Islamic Bank berjumlah RM100,000 yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)nya, Nazlee Khalifah di Masjid Kampung Padang Melangit di sini, hari ini.

Majlis tersebut diadakan bersempena program Hijrah Minda MAIPs kali pertama bagi 2018.

Dalam pada itu, CEO MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor memberitahu, kesemua peruntukan yang diserahkan itu melibatkan sebanyak 150 kali program yang dijalankan di 105 buah masjid di negeri ini.

“Daripada bilangan program yang dijalankan, kesemuanya telah dihadiri oleh baginda (Tuanku Syed Faizuddin) yang berkenan menyerahkan sendiri sumbangan,” katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhan, ia membabitkan sebanyak 27 kali sumbangan kepada 20 asnaf yang berjumlah RM216,000 pada 2017.

“Pada 2016, sebanyak 25 kali untuk 20 asnaf berjumlah RM200,000 dan sebanyak 36 kali untuk 20 asnaf berjumlah RM288,000 pada 2015.

“Seterusnya sebanyak 35 kali untuk 20 asnaf berjumlah RM280,000 pada 2014 dan pada 2013 sebanyak 27 kali untuk 20 asnaf berjumlah RM216,000,” katanya.

Pada majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin turut menyerahkan sijil penghargaan pewakaf kepada Rokiah Jusoh yang telah menyumbangkan Wakaf Khas Tanah Untuk tujuan Maahad Tahfiz Al Quran Darul Sunnah (Maqdis) yang terletak di Mukim Paya yang berkeluasan 0.1205 hektar.

Sijil tersebut diterima bagi pihak Rokiah oleh Mudir Maqdis, Wahid Mahmud.

Turut diadakan di perkarangan masjid tersebut ialah promosi daripada beberapa agensi kerajaan termasukkah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Rejimen 504 Askar Wataniah dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs). - UTUSAN ONLINE