Hari ini, tersebar luas di media sosial mengenai status kelayakan akademik Mahfuz yang didakwa lulusan dari Belford University dalam bidang pengajian Sains dan Politik pada 1992.

Perkara itu, turut menarik perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menulis status di Facebooknya meminta Mahfuz memberi penjelasan mengenai latar belakang universiti tersebut.

Terdahulu, di media sosial tersebar buku direktori wakil-wakil rakyat yang menyenaraikan maklumat setiap Ahli Parlimen, termasuk Mahfuz yang menunjukkan beliau berkelulusan dari Belford University.

Hasil carian, universiti tersebut tidak wujud malah terkenal dengan penjualan ijazah palsu.

Menjawab persoalan tersebut, Mahfuz dalam satu kenyataan menafikan dakwaan bahawa beliau adalah lulusan dari sebuah universiti luar negara.

Katanya, perkara tersebut jelas merupakan fitnah yang cuba mencemarkan nama beliau.

“Saya dimaklumkan bahawa telah tular di media sosial mengenai dakwaan bahawa saya merupakan lulusan dari sebuah universiti luar negara. Perkara tersebut jelas merupakan satu fitnah yang mahu mencemarkan nama saya. 

“Saya tidak pernah memiliki apa-apa ijazah dari mana-mana universiti dalam atau luar negara.

“Perkara ini bukan rahsia kerana sejak dahulu lagi umum mengetahui bahawa saya tidak memiliki ijazah dari mana-mana universiti dari dalam atau luar negara. Saya keluaran Kemunting dan Kajang,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, timbul isu mengenai kelayakan akademik melibatkan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang seterusnya menjadi polemik dalam kalangan rakyat.

Antara pemimpin PH lain yang turut terpalit dengan kontroversi tersebut termasuklah Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selain kelayakan akademik Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. - UTUSAN ONLINE