Tidak sangka akan sambutan yang diterima, kata Faizal, niat sebenar dia berkongsi kisah kelahiran anak ke limanya adalah untuk membetulkan anggapan sesetengah pihak yang memberitahu seorang wanita yang melahirkan anak secara pembedahan hanya boleh melaluinya sebanyak tiga kali sahaja.

"Memang saya juga ingat wanita yang melahirkan secara pembedahan boleh tiga kali sahaja. Tetapi bila bertemu sendiri dengan pakar,  dapatkan nasihat dan pandangan rupanya kelahiran anak saya yang kelima melalui pembedahan ini bukan luar biasa sebab ada yang lebih dari itu.

“Saya berkongsi dari kaca mata seorang suami sebabnya dalam waktu ini kita sebagai orang lelaki perlu memberi sokongan yang kuat kepada isteri ke atas pengorbanannya.

“ Selain itu juga menjawab beberapa soalan kepada mereka yang meninggalkan komen, saya menggunakan pengetahuan yang ada selain fakta perubatan yang betul sebab bukan saya yang melaluinya,” katanya kepada Utusan Online.

Pernah kehilangan anak akibat komplikasi jantung, kata Faizal, sejak kematian anak keduanya  Adam Haikal Iman, isterinya   Norazlina Ahmad Din, 41,  sentiasa bersyukur dengan kehadiran tiga lagi anak yang dianggap sebagai hadiah terindah.

“Bila anak kedua saya meninggal memang  kami sangat menghargai rezeki demi rezeki yang diterima. Pokoknya dalam soal ini isteri saya sendiri yang sangat positif untuk terus melahirkan zuriat kami, sebab itu saya sentiasa bersamanya selain berusaha dalam untuk mendapatkan pandangan perubatan yang terbaik.

“Saya harap perkongsian saya ini dapat memberi inspirasi buat mereka. Bukan apa selain perkongsian saya ini ada juga mereka yang berkongsi kisah yang sama, jadi dalam waktu yang sama saling berkongsi informasi,”jelasnya.

 

Sementara itu ditanya mengenai anak kelimanya, Faizal memberitahu dia bersyukur kesihatan isteri dan anaknya dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah anak perempuan saya dalam keadaan baik bersama ibunya. Buat masa ini saya yang akan membantu isteri menguruskan tiga lagi anak  Nur Khairina Iman, 15,  Muhammad Khalish Iman, 6, dan Khayla Nur Iman,  4.

“Untuk nama anak kelima ini saya masih belum boleh kongsi, sebab belum daftar,” katanya. - UTUSAN ONLINE