Tegas Dr. Mohd. Asri individu yang tidak jujur mengenai pemilikan sijil yang mereka miliki merupakan lambang tidak amanah yang ada dalam diri mereka.

Justeru menurut beliau sekiranya ada kerajaan yang melantik individu memiliki sijil palsu atau sijil beli bermakna pemerintah tersebut tidak tidak begitu mengambil berat soal integriti.

"Mana-mana kerajaan yang berwibawa di dunia ini tidak akan membenarkan wujud dalam kepimpinan mereka anggota yang memiliki sijil palsu atau sijil beli.

"Tidak jujur tentang pemilikan sijil adalah lambang tidak amanah dalam diri. Jika mana-mana kerajaan menyimpan anggota yang sedemikian bererti ia sebuah kerajaan yang tidak begitu mengambil berat soal integriti," kata Dr. Mohd. Asri.

PUTRAJAYA 3 SEPTEMBER 2018Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki
Datuk Marzuki 

Isnin lalu seorang aktivis politik Muhsin Abdul Latheef menggesa pihak polis menyiasat dakwaan mengenai Timbalan Menteri Luar, Datuk  Marzuki Yahya  yang didakwa  memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Cambridge.

Ia susulan pendedahan seorang warganet dikenali Zulfahan Pagon menerusi akaun Facebook  yang mendakwa program PJJ dari Universiti Cambridge yang diikuti Marzuki itu tidak wujud.

Beberapa portal berita kemudian melaporkan, Marzuki sedia mengemukakan bukti bagi mengesahkan beliau graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Cambridge, England.

Sehubungan itu, Marzuki yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan yang beliau menipu latar belakang pendidikannya seperti mana didakwa segelintir pihak.

Semalam Marzuki menjelaskan bahawa ijazah dalam pentadbiran perniagaan beliau adalah dari Cambridge International University yang berpusat di Amerika Syarikat dan bukan University of Cambridge di United Kingdom.

"Saya fikir mereka (pengkritik saya) salah faham (kelayakan saya). Saya (belajar) di Cambridge International University di AS.

"Saya membuat logistik (sebelum menyertai politik), jadi saya hanya mengambil sijil untuk pengetahuan saya untuk mengembangkan perniagaan saya. Sebagai CEO syarikat, saya ingin memperluaskan pengetahuan dan perniagaan saya," katanya kepada Malaysiakini.-UTUSAN ONLINE