Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, menasihatkan umat Islam supaya tidak hilang pedoman dan bertindak mengikut hawa nafsu jika ditimpa ujian.

"Al-Quran dan as-sunnahlah memimpin manusia ke jalan yang benar sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

"Jika seluruh umat Islam berpegang teguh kepadanya, nescaya ummah akan menjadi kukuh dan segala konflik dapat dielakkan.

"Ia seterusnya menatijahkan keberhasilan dan kejayaan terhadap segala peran­cang­an pembangunan dan kemajuan seperti yang dicita-citakan," titah baginda.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menghadiri program Ramah Mesra Bersama Masyarakat di Masjid Muhajirin yang terletak di Thazae dalam wilayah Chumphon, Thailand, semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Chumphon, Pitsanu Sri Saad dan Imam masjid, Harun Sangsri serta para pelajar Sekolah Fardhu Ain masjid berkenaan.

Turut hadir ke program bersempena Ziarah Mahabbah Tahunan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Wilayah Andaman, ialah Naib Gabenor Wilayah Chumphon, Sanit Sri Wihuk.  

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs turut menambah harapan agar seluruh umat Islam sentiasa bersatu sebagai ‘Ummatan Wahidah’ demi mewujudkan sebuah persekitaran kehidupan “Baldatun Toiyyibatun Warabbul Ghofur”, iaitu wilayah yang aman damai dan mendapat rahmat daripada Allah SWT.

Di majlis tersebut, MAIPs turut menyerahkan sumbangan kepada masjid dan juga Sekolah Fardhu Ain masjid tersebut dan Masjid Budril Islami, Chumphon. - UTUSAN ONLINE