Ketua Pegawai Eksekutif Perdana Ekspres, Wan Mohd. Faiz Wan Hamat berkata, permintaan yang dikemukakan pengusaha bas wajar mendapat perhatian segera bagi mengelakkan bebanan  kerugian sehingga sesetengahnya terpaksa menutup operasi perkhidmatan dan perniagaan.

Menurutnya, harga tiket yang digunakan sekarang berasaskan ketetapan pada 2009 adalah tidak sejajar dengan kenaikan kos penyelenggaraan semasa.

"Tidak dinafikan ada syarikat terpaksa menjual sebuah bas untuk membaiki bas lain milik mereka. Malah untuk membeli sebuah bas baharu mereka memerlukan modal sekurang-kurangnya RM1 juta.

"Kita khuatir perkhidmatan pengangkutan negara ini berkubur satu demi satu kesan kenaikan kos penyelenggaraan yang tidak sejajar dengan caj tambang. Kami tidak menuntut kadar tambang baharu yang tinggi. Cukup sekadar berpatutan dan tidak membebankan pengguna, "katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Kursus Motivasi dan Peningkatan Prestasi Kerja Kakitangan Ekspres Perdana di Tanjung Demong Beach Resort, dekat sini, hari ini. 

Wan Mohd. Faiz berkata, kerajaan juga perlu mengkaji punca utama yang menyebabkan beberapa syarikat bas ekspres bumiputera tidak berupaya dan berakhir dengan memberhentikan perkhidmatan. 

"Perbelanjaan penyelenggaraan yang melebihi hasil pendapatan sering dialami banyak syarikat kecil. Ini akan merugikan negara dari aspek pembangunan industri pengangkutan awam selain melibatkan tenaga sumber manusia yang hilang pekerjaan," katanya. - UTUSAN ONLINE