Gurauan menjadi viral itu mempunyai makna yang sangat mendalam, kerana bukan sahaja mengingatkan wakil-wakil rakyat supaya tidak meninggalkan sesi dewan yang sedang berlangsung, bahkan lebih besar signifikannya mereka harus memikul tanggungjawab yang telah diberi oleh rakyat.

Wakil rakyat dari parti yang memerintah pastinya perlu bertungkus-lumus untuk membukti mereka merupakan pilihan yang tepat dan rakyat tidak salah memilih gabungan baharu bagi menggantikan kerajaan yang telah memerintah sejak kira-kira 60 tahun lalu.

Lebih dikhuatiri ialah wakil rakyat dari parti yang kalah, kerana dibimbangi akan lebih cenderung untuk mengambil sikap sambil lewa dalam memperjuangkan nasib rakyat, sebagaimana yang ditunjukkan oleh pihak pembangkang pada penggal pemerintahan yang lalu.

Memang mudah segalanya hanya perlu dipersalahkan kepada kerajaan jika apa juga masalah yang dibangkitkan oleh rakyat. Bagaimanapun wakil rakyat harus ingat mereka dipilih oleh rakyat dan tanggungjawab itu harus dipikul dengan sebaik mungkin kerana mereka akan dihisab dan disoal di akhirat nanti.

Bagi ahli politik yang kalah pada pilihan raya lalu bukan bermakna khidmat mereka kepada masyarakat terus terhenti. Sebagai pemimpin yang jiwanya sentiasa bersama rakyat, mereka mempunyai pelbagai pentas lain untuk mencurahkan bakti dan bukan hanya berasaskan laba serta anugerah pangkat serta kuasa semata-mata.

Jangan pula ada bekas wakil rakyat mengambil keputusan untuk bersara daripada politik semata-mata hanya kerana kalah pada pilihan raya lalu, sedang sejak beberapa penggal yang lalu mereka telah menikmati hidup berada di puncak dan disanjungi rakyat jelata.

Mereka perlu muhasabah diri kesilapan yang dilakukan sehingga menyebabkan rakyat menolak mereka, dan tidak mustahil hati rakyata akan kembali bertaut kepada mereka pada pilihan akan datang.

Tempoh lima tahun adalah singkat, tetapi janganlah pula yang menjadi pembangkang buat pertama kali terlalu kejam dan tidak mempunyai belas ihsan kepada kerajaan yang baharu dan membantah segala dasar yang dilaksanakan walaupun jelas memberi manfaat kepada rakyat tetap mahu ditentang.

Paling menyakitkan hati ialah wakil rakyat yang keluar dari parti yang meletakkan mereka di tempat sekarang, hanya kerana rasa kecewa tidak dipilih untuk memegang jawatan atau orang yang mereka sokong tidak terpilih dalam pemilihan parti.

Fikirlah perasaan rakyat yang majoriti memilih mereka kerana yakin pemimpin berkenaan akan berdiri gagah menegakkan panji-panji perjuangan parti.

Jadi cuba bertenang jangan lari daripada tanggungjawab yang kita sendiri pinta daripada rakyat. Pokok pangkalnya adalah rakyat harus diutamakan, jika tidak jangan terjun ke dalam politik sejak awal.