Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, suspek yang bekerja sebagai pemotong rumput dikatakan meminta wang daripada ibunya, Mea’ah Abd. Majid, 65.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian berpunca daripada suspek yang tidak berpuas hati apabila ibunya enggan memberikan duit.

“Suspek telah mengamuk dan mengetuk kepala mangsa dengan besi pemotong rumput.

“Mangsa cuba menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah untuk meminta bantuan setelah mendapati kepalanya berdarah sebelum pengsan di depan rumah jirannya. Suspek pula lari dan cuba menyembunyikan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini malam ini.

Menurut Mohamad Noor, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan manakala suspek yang cuba menyembunyikan diri diberkas beberapa jam kemudian.

“Mangsa menerima tiga jahitan di bahagian kanan kepala dan berada dalam keadaan stabil.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE