Rosni Abu
Rosni Abu

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Raub Selamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Rosni Abu, 48, dalam perjalanan untuk menghantar anak bongsunya, Nurul Shuhada Osman, 11, ke Sekolah Kebangsaan (SK) Labis, di sini.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah sama cuba memotong motosikal dinaiki mangsa dan anaknya sebelum bergesel sehingga menyebabkan kenderaan pacuan empat roda itu hilang kawalan.

"Kenderaan itu kemudian melanggar bahagian tepi motosikal mangsa sebelum melanggar lori yang membawa muatan ayam sejuk beku di laluan bertentangan," katanya.

Menurutnya, Rosni yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan maut serta-merta di tempat kejadian, manakala  anaknya yang cedera ringan dibawa ke Klinik Kesihatan Labis untuk menerima rawatan lanjut.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda, pemandu serta kelindan lori yang membawa ayam sejuk beku turut mengalami kecederaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE