Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd., berkata, dua suspek berusia 40 dan 57 tahun dari Batu Pahat itu ditahan pada 30 Oktober lalu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan mendapati kedua-dua suspek bergiat aktif dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Batu Pahat sebagai landasan untuk mengaburi mata masyarakat. 

"Sebanyak 13 laporan polis dibuat melibatkan kerugian RM1.34 juta terhadap sindiket ini yang dikesan sejak awal tahun ini dengan menjual watikah pelantikan dan Darjah Kebesaran Negeri untuk negeri lain. Hasil siasatan mendapati pertubuhan ini mempunyai kira-kira 40 ahli. 

"Sindiket ini menawarkan bayaran RM20,000 ke RM30,000 untuk menjadi ahli dan bayaran sebanyak RM180,000 untuk gelaran Datuk dan RM280,000 bagi Datuk Seri," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini sebentar tadi.

Mohd. Khalil berkata, polis sudah mendapat pengesahan daripada kerajaan negeri terlibat bahawa lapan watikah pelantikan serta pingat darjah kebesaran negeri yang disediakan sindiket tersebut adalah palsu. - UTUSAN ONLINE