Ia susulan kenyataan Ahli Dewan Negara, Bob Manolan Mohamad baru-baru ini yang didakwa mengugut tok batin di Cameron Highlands supaya mengundi calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen itu jika mahu terus dibayar elaun dan diberikan jawatan.

Bob Manolan walau bagaimanapun telah menafikan dakwaan tersebut.

Menurut Bersih, kenyataan tersebut menggambarkan wujud kemudaratan besar apabila pimpinan kampung atau komuniti dilantik oleh kerajaan dan tidak dipilih sendiri oleh orang kampung atau komuniti itu.

“Sekiranya elaun sebanyak RM900 hingga 1200 - menurut Bob Manolan - boleh digunakan untuk memaksa sokongan tok batin kepada parti pemerintah, bagaimanakah komuniti Orang Asli boleh mengharapkan pemimpin mereka untuk membela hak mereka?

“Menafikan hak orang kampung memilih ketua dan pemimpin mereka pada asasnya satu bentuk korupsi pilihan raya apabila wakil-wakil parti pemerintah dilantik untuk memonopoli capaian kepada sumber kerajaan dan menyemai imbuhan,” kata Bersih seperti dipetik portal Malaysiakini. - UTUSAN ONLINE