Muhammad Faiz yang juga Timbalan Pengerusi Sekretariat Protes AES (ProtAES) menegaskan pelaksanaan sistem tersebut mempunyai kesan ke atas kos sara hidup apatah lagi rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi dan kerajaan pula sedang berusaha keras mengurangkannya. 

Jelas beliau, ProtAES konsisten dengan pendirian bahawa AES bukan satu-satunya langkah bagi mendisiplinkan pengguna jalan raya kerana sejak dilaksanakan pada September 2012 dan kemudian dijenamakan semuka pada April 2017 di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas), isu berkaitan AES tidak pernah reda. 

“Pelaksanaan AES bertentangan dengan perkara ini kerana maqasid syariah bukan sahaja berpremiskan elemen nyawa tetapi juga harta. 

“Tidak menepati maqasid syariah jika pelaksanaan AES menekan hidup rakyat dan meningkatkan kadar keperitan hidup,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Baru-baru ini, Hasanuddin dalam kenyataan akaun Facebook beliau berkata pemasangan kamera AES dan saman dikeluarkan bertujuan menjaga nyawa pemandu serta penumpang dan menepati prinsip maqasid syariah dalam Islam. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat menjelaskan kesimpulan itu dibuat berdasarkan perbualan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Harapan, Jumaat lalu. - UTUSAN ONLINE