Perang poster dan gegantung kini seakan-akan Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) yang lalu. Namun yang membezakan kedua calon ini bukanlah kepada fizikal, tetapi intelek mereka yang perlu ditonjolkan kepada rakyat.

Sebagai perbandingan pada PRU 14, BN mencalonkan anak tempatan iaitu Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari. PKR pula mempertaruhkan Mat Shuhaimi Shafiei yang merupakan 'orang luar'. Ada yang menyatakan beliau berasal dari Bagan Serai, Perak.

Jika dilihat rekod sebelum ini, pengundi DUN Sungai Kandis menyukai orang luar bersandarkan undi yang diterima ADUN Sungai Kandis sebelum ini. Ini disebabkan orang tempatan sudah kenal benar dengan anak tempatan yang dicalonkan hingga minat untuk memberi undi bercampur baur di hati.

Soal rezeki Allah dan persepsi yang dimainkan oleh pelbagai media termasuk media sosial dan perdana turut menghantui kempen PRU-14.

Hinggakan anak tempatan sehebat Kamaruzzaman ti­dak menjadi pilihan pengundi. Mungkin pengaruh Mat Shuhaimi sebagai orang kanan Menteri Besar Selangor semasa itu turut memainkan peranan untuk rakyat di Sungai Kandis memangkah calon walaupun dari luar.

Namun senario yang menyebabkan BN tewas di banyak DUN di Selangor telah berubah termasuk di Sungai Kandis. Isu melibatkan pemimpin tertinggi BN telah terjawab dan proses mahkamah sedang berlangsung.

Rakyat pula yang dimomokkan manifesto populis telah `mendapat' segala janji Pakatan Harapan (PH). Selepas 80 hari PRU-14 tamat, nampaknya manifesto gabungan tersebut hanya tinggal kenangan manis musim pilihan raya.

Beban tuntutan atau pembuktian (burden of proof) manifesto kini ditanggung dengan hebatnya oleh Mohd. Zawawi yang merupakan orang kuat tahfiz yang lebih banyak bergelumang dengan dunia ilmu.

Kini badi anak tempatan yang mungkin tidak dipilih oleh rakyat bakal ditanggungnya.

Lokman Noor kelihatan langsung tidak tertekan, kerana tagline beliau yang menyebut sokong BN jika mahu PH tunaikan janji amat sukar ditolak oleh rakyat di mana sahaja.

Lebih menarik, manifesto Mohd. Zawawi untuk meningkatkan perparitan di kawasan DUN Sungai Kandis terutama di kampung beliau di Jalan Kebun menjadi bahan lelucon orang tempatan.

Parit besar sekeliling Jalan Kebun sudah berpuluh tahun begitu rupanya. Dipenuhi lalang dan menjadi tempat anak-anak muda memancing keli dan puyu. Sepatutnya isu longkang tersebut sudah selesai sejak 2008 apabila Kerajaan PKR memerintah Sela­ngor.

Anak tempatan sepatutnya ti­dak perlu menunggu sampai gilirannya menjadi ADUN untuk menaiktaraf parit mahupun longkang. Apa yang perlu beliau lakukan ialah menjadi pendesak kepada Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) di negeri ini.

Kedua calon sudah berkempen hampir keseluruhan DUN tersebut. Buat masa ini Lokman Noor menerima sambutan baik, cuma kawasan tertentu penolakan terhadap kehadiran beliau ditunjukkan tanpa segan silu.

Pada penghujung garisan nanti, segalanya akan terjawab sama ada badi anak tempatan yang ditolak pengundi menimpa Mohd. Zawawi.