Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi menyedarkan segelintir rakyat betapa manusia pada hari ini ni tidak lagi mampu untuk hidup dalam khayalan dan nostalgia semata-mata untuk mencapai kemajuan. 


“Setiap kali turun padang, berdirilah dengan tegap dan nyatakan pendirian yang kita akan tetap pertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pemimpin negara pada masa ini. 


“Dalam trek rekod Mahathir, beliau telah membuat bermacam perkara dan angkara. Jangan takut cakap tentang perkara sebegitu kerana kita bukan hendak memfitnah sebaliknya menyatakan perkara yang benar,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Langkawi di sini hari ini. 


Tambahnya, bersandarkan trek rekod Mahathir bersama pemimpin-pemimpin pembangkang sebelum ini, tidak mungkin Lim Kit Siang, Lim Guan Eng serta Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membenarkan beliau untuk menjadi Perdana Menteri semula walaupun hanya untuk sementara. 


“Terlalu banyak sejarah hitam yang berlaku antara mereka. Tindakan pembangkang menyokong Mahathir seperti yang dilakukan pada hari ini tidak lebih daripada sekadar dakyah DAP untuk mendapatkan undi orang Melayu,” katanya.-UTUSAN ONLINE