Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, syarat tersebut adalah tidak wajar bagi Zakir menggunakan forum untuk menyerang mana-mana kaum di negara ini.

“PKR menghormati keputusan pihak berkuasa dan polis agar Zakir tidak berucap di program awam.

“Kami juga menyerah keputusan status penduduk tetap beliau kepada pihak berkuasa mengikut jalur hukum dan persoalan kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat biro politik PKR di Petaling Jaya dekat sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador semalam berkata, Zakir tidak dibenarkan memberi ceramah melalui semua medium, termasuk media sosial.

Abdul Hamid memberitahu, larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.

Zakir sebelum ini telah diharamkan di Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak susulan daripada kenyataan berbaur perkauman yang dibuat olehnya ketika berceramah di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE