TEH YEE CHEU

Beliau yang mengumumkan tidak lagi bersama DAP baru -baru ini berkata, tumpuannya kini beralih ke kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Su­ngai Pinang yang akan ditandingi dalam PRU-14.

Sehubungan itu, katanya, se­gala kenyataan DAP susulan keputusan beliau untuk meninggalkan parti berkenaan selepas 18 tahun dianggap tidak penting.

“Rakyat negeri ini memerlukan semak dan imbang, jadi saya tidak kisah apa yang mereka suarakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan akan bertanding di DUN Sungai Pinang atas tiket Parti Sosialis Malaysia (PSM) di sini hari ini.

Yee Cheu yang juga bekas Bendahari DAP negeri merupakan pe­nyandang kerusi DUN Tanjung Bungah selama dua penggal sejak 2008.

Krisis membabitkan Yee Cheu dengan DAP mula tercetus berikutan kelantangan beliau mempersoalkan dasar kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung isu alam sekitar dan tambak laut di negeri ini.

Beliau juga pernah mengusulkan dalam sidang DUN supaya jawatan Ketua Menteri dihadkan selama dua penggal sahaja sekali gus mencetuskan bantahan semua ADUN DAP yang menyokong Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng.

Ditanya tentang isu yang akan dibawa dalam kempen kelak, Yee Cheu berkata, Sungai Pinang turut berdepan dengan ma­salah alam sekitar dan isu itu menjadi ke­utamaan beliau.

“Masalah yang berlaku di Sungai Pinang sebenarnya berpunca daripada Air Putih, Air Itam dan kawasan tebus guna tanah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PSM Pusat, Choo Chon Kai berkata, ini merupakan kali pertama parti itu bertanding di negeri ini dan Yee Cheu dilihat sebagai calon yang memenuhi kriteria.

Dalam PRU-13, calon DAP, Lim Siew Khim menerima sebanyak 12,354 undi di kerusi itu de­ngan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Thor Teong Gee (7,647 undi) dan calon Bebas, Mohamed Yacoob Mohamed Noor yang ha­nya meraih 141 undi.