Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad yang mewakili kumpulan berkenaan berkata, menjadi tanggungjawab mereka untuk memperkuatkan Dr. Mahathir dalam menerajui kepimpinan negara dengan cemerlang.

"Kami tadi telah diberi kuliah panjang oleh Dr. Mahathir... Kami bersyukur kerana dapat dengar amanat serta syarahan pendek beliau. Kami bersama Bersatu kerana kita yakin perjuangan dibawa oleh Tun. 

"Saya pernah bawah anggota Kabinet Dr. Mahathir semasa Perdana Menteri Keempat. Tidak timbul isu rasis. Kerana di Malaysia, etnik dominan adalah Melayu bumiputera dan Tun berkuasa sebagai Perdana Menteri dan menjadi tanggungjawab kami memperkuatkan Melayu dan bumiputera," katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.

Selain Abdul Latiff, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz turut menyerahkan borang permohonan menyertai Bersatu.

Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada majlis sama turut menerima kad keahlian Bersatu.

Borang penyertaan itu diserahkan kepada Dr. Mahathir dalam satu majlis khas di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Ditanya kenapa baru sekarang mereka memilih menyertai Bersatu iaitu selepas gabungan politik Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Abdul Latiff menjelaskan, Dr. Mahathir sebelum ini telah mengajar mereka semua erti kesetiaan kepada pemimpin dan parti.

"Kita semua dahulu bersama Dr. Mahathir kerana beliau adalah pemimpin parti kita dan pada waktu itu kuasa ada padanya tetapi apabila kami kalah, ini kita katakan, politik semua melibatkan angka.

"Oleh itu menjadi tanggungjawab kita untuk memperkuatkan Dr. Mahathir dan menerajui kepimpinan negara dengan cemerlang," katanya. - UTUSAN ONLINE