Foto Najib ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Undang-Undang daripada Universiti N
Foto Najib ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Undang-Undang daripada Universiti Nottingham

Najib membuat pengakuan terbuka itu apabila membaca laporan media pagi ini yang telah menulis emel kepada Universiti Nottingham untuk bertanya sama ada beliau benar-benar graduan universiti tersebut.

"Bersungguh mereka. Tak pula mereka menulis kepada National University of Singapore dan Australian Society of Accountants. Apapun, pihak universiti telah membalas media berkenaan.

"Universiti itu sudah sahkan saya peroleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Ekonomi Industri pada tahun 1974. Ya, saya memang graduan dari sana," kata Najib dalam satu hantaran di Facebook beliau sebentar tadi.

Najib berkata, Universiti Nottingham turut menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Undang-Undang pada tahun 2004.

Gambar beliau menerima ijazah tersebut telah dijadikan gambar profile di Facebook dan mendapat lebih 40,000 reaksi selain 1,610 perkongsian dan 3,700 komen tidak sampai satu jam gambar itu dimuat naik.

"Bertahun-tahun saya difitnah oleh PH bahawa saya bukan graduan. Kini sudah dijawab oleh media dan pihak Universiti. Media itu bagus. Mereka sanggup mencari kebenaran.

"Mengapa PH tidak pernah mahu buat demikian? PH tak ada e-mel ke? Tak tahu pakai telefon ke? Atau hanya ada Wechat," tanya Najib.

Sementara itu, Najib berkata, dia telah cuba mencari sijil ijazah berkenaan di rumahnya tetapi tidak berjaya dan berkemungkinan tertinggal di Seri Perdana selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Menurut Najib, beliau telah menulis kepada pihak universiti tersebut untuk mendapatkan sijil gantian.

"Mereka jawab akan kirim kepada saya dalam masa sekitar satu minggu. Apabila saya terima, saya akan muatkan gambar sijil itu di FB ini. Lepas itu, saya ingin tengok. Apa lagi mahu fitnah," kata Najib. - UTUSAN ONLINE