Walaupun begitu, selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan, parti itu terpalit dengan pelbagai isu termasuk  didakwa mengamalkan nepotisme, budaya ‘warlord’ dansebagainya sehingga menjejaskan persepsi rakyat terhadap parti tersebut.
Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, FARHANA JONI, Setiausaha Agung Bersatu yang baru dilantik, DATUK MARZUKI YAHYA bagi menggantikan Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh menjelaskan mengenai isu-isu tersebut dan perancangan beliau untuk memastikan perkara sama tidak berulang.

Marzuki Yahya
Marzuki Yahya 

UTUSAN: Tahniah Datuk kerana dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu semalam. Memandangkan Datuk juga merupakan Pengerusi Bersatu Pulau Pinang dan Timbalan Menteri Luar, apakah perancangan Datuk untuk parti selepas ini?

MARZUKI: Terima kasih. Saya akan menggunakan pengalaman yang ada untuk fokus terhadap tiga perkara iaitu membangunkan semula imej Bersatu sebagai parti yang kuat dalam PH, me­nubuhkan beberapa cawangan baharu yang terlibat dan me­rangka persidangan agung yang dijangka berlangsung pada 16 Disember depan.

Setakat ini Bersatu memiliki 1,160 cawangan di seluruh negara dan jumlah tersebut telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Bolehkah Datuk mengulas lanjut mengenai dakwaan wujudnya kemelut dalaman dalam Bersatu selain budaya warlord, nepotisme, sikap memandai dan ingkar arahan parti?

MARZUKI: Saya mengakui memang wujud kemelut dalam Bersatu tetapi ia tidak menjejaskan parti secara keseluruhan. Dalam hal ini, semua kena ingat bahawa agenda penubuhan Bersatu adalah untuk menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan menjatuhkan BN.

Pada waktu itu, Bersatu seolah-olah tiada hala tuju kerana sibuk dengan pelbagai usaha dan kempen bagi mencapai agenda tersebut. Tapi kita akan membina semula pemikiran ahli-ahli parti.

Ini bermakna memang ada ahli atau kepemimpinan dalam Bersatu yang ‘sengaja buat pandai’ dan tidak mengikut arahan parti?

MARZUKI: Betul, seperti yang diberitahu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dan saya juga tidak menafikan memang ada dalam kalangan ke­tua bahagian yang memecat ahli jawatankuasa sesuka hati, selain melanggar beberapa peraturan dalam Perlembagaan parti hingga menimbulkan masalah lain.

Kepemimpinan tertinggi Bersatu cuba menasihatkan tetapi keadaan masih sama, jadi nak tak nak, keputusan memecat individu berkaitan perlu dilakukan.

Jadi, apa perancangan Datuk untuk memastikan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan?

MARZUKI: Insya-Allah, ke­pe­­mim­pinan tertinggi Bersatu akan mendedahkan ahli-ahli Bersatu mengenai hala tuju utama parti iaitu memperkasakan perjuangan Melayu yang sudah hilang roh perjuangannya.

Tunjuk ajar daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad serta nasihat daripada presiden dan timbalan presiden perlu dipegang supaya ahli-ahli menyedari perjuangan sebenar Bersatu iaitu sepenuhnya untuk bangsa, agama dan negara.

Betulkah dakwaan terdapat dua puak kepemimpinan dalam Bersatu ketika ini antara pre­siden dan timbalan presiden?

MARZUKI: Itu semua propaganda politik. Dakwaan itu wujud sejak Bersatu ditubuhkan dua tahun lalu. Saya menafikan sekeras-kerasnya. Tiada pun sebenarnya puak-puak ini.