Wong Tack patut kemuka bukti jika tidak setuju dengan Dr. Xavier
Quek Tai Seong

Setiausaha Pemuda MCA negeri, Quek Tai Seong berkata, hal ini kerana Ahli Parlimen Bentong itu yang juga Pengerusi Himpunan Hijau sebelum ini begitu lantang mengutuk kerajaan mengenai isu berkenaan tetapi sekarang dilihat memilih untuk mendiamkan diri.

Sebelum ini, katanya, Wong Tack memberi gambaran dirinya sebagai seorang pejuang pemuliharaan alam sekitar dan sering melempar kritikan terhadap perlombongan emas di Bukit Koman, malah membawa persatuan Himpunan Hijau menyertai politik serta bertanding di kawasan Parlimen Bentong.

“Pada masa itu, Wong Tack menuduh MCA mengabaikan kesihatan rakyat dan alam sekitar walaupun tidak mempunyai bukti kukuh yang mengaitkan penggunaan sianida di Bukit Koman dengan kesihatan penduduk tempatan.

“Malah, Wong Tack juga pernah menyerang MCA dan Barisan Nasional (BN) dan bertanya ahli Parlimen Bentong pada masa itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai jika ‘seseorang penduduk perlu meninggal dunia sebelum tindakan diambil’,” katanya di sini hari ini.

Tai Seong berkata, sejurus selepas dipilih sebagai wakil rakyat Bentong, Wong Tack nampaknya bertukar pendirian.

“Walaupun Dr. Xavier menjawab dalam Parlimen bahawa tiada bukti penggunaan sianida menjejaskan kesihatan penduduk dan alam sekitar, Wong Tack tidak menyuarakan bantahan dan membisu sahaja. Apakah ini bermakna beliau telah bertukar pendirian sebelum ini selepas menjadi Ahli Parlimen?

“Jika sebelum ini beliau mendakwa ada bukti bahawa kesihatan penduduk dan alam sekitar telah terjejas, mengapakah bukti ini tidak dibangkitkan untuk menyangkal jawapan Dr. Xavier. Mengapa beliau enggan menyuarakan bantahan dalam Dewan Rakyat walaupun telah berjaya dipilih sebagai Ahli Parlimen?,” soalnya.

Sehubungan itu, katanya, sekiranya Wong Tack gagal membuktikan bahawa penggunaan sianida adalah berbahaya kepada penduduk tempatan, beliau harus memohon maaf secara terbuka kepada MCA, serta meletak jawatan sebagai ahli Parlimen Bentong kerana menipu rakyat. - UTUSAN ONLINE