KHAIRUL AZWAN

Beliau mendakwa, pemimpin-pemimpin Melayu yang meng­izinkan diri mereka untuk dijadikan boneka DAP, terdiri daripada individu yang mempunyai cita-cita serta agenda peribadi sempit.

“Tun Dr. Mahathir Mohamad misalnya mahu menyelamatkan diri daripada implikasi siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan kerugian sebanyak AS$10 bilion (RM44 bilion) melalui kegiatan perdagangan mata wang asing (forex) selain bercita-cita mahu mengangkat anaknya sebagai Perdana Menteri.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sudah pastinya memerlukan sokongan untuk keluar daripada penjara dan bertanding semula. Jadi, agenda ini telah dihidu oleh DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lenggong di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Lenggong, Datuk Saarani Mohamad serta Timbalan dan Naib Ketuanya,  Datuk Mohd. Tarmizi Idris dan Datuk Shamsul ­Anuar Nasarah.

 Sehubungan itu, Khairul Azwan beranggapan, strategi DAP ibarat ‘wayang kulit’ itu sekadar untuk menarik perhatian orang Melayu, namun di sebaliknya, pemimpin utama se­perti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, berkuasa menentukan hala tuju Pakatan Harapan.

Lebih malang katanya, pemim­pin-pemimpin Melayu yang dipergunakan dengan alasan untuk meraih sokongan Melayu, pada masa sama disasarkan untuk menghentam orang Melayu itu sendiri.

“Tindakan Dr. Mahathir seolah-olah mengepalai Pakatan Harapan pula amat ajaib kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya memiliki satu kerusi tetapi beliau dilihat boleh menguasai pembangkang serta mengisytiharkan siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri jika pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.