Katanya, pendirian Ahmad yang juga Ketua UMNO Kemaman setelah mengharungi kemelut politik yang cukup sukar, kembali mententeram dan memantapkan kedudukan parti kerana punca kuasa politik negeri boleh dikatakan berada di bahagian ini.

Menurut Shahrizat, keadaan itu diperkukuhkan dengan barisan kepemimpinan di bawah yang tetap menghormati beliau, dan tidak mengambil kesempatan daripada kemelut yang berlaku ketika itu.

“Saya bersama 1.3 juta ahli pergerakan Wanita mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Said yang terus bersama UMNO dan memberikan sokongan kepada kepemimpinan negeri,”ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian, di sini hari ini.

Yang turut hadhir, Ahmad Said dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan ketua ketiga-tiga sayap parti.

Katanya, kesepakatan UMNO bahagian ini cukup jelas, sebagaimana sokongan kuat oleh ahli diperlihatkan hari ini, dan suasana ini tidak akan wujud tanpa kesediaan semua untuk terus menegakkan UMNO sebagai wadah perjuangan untuk terus membela nasib agama, bangsa dan negara.

Shahrizat menarik perhatian, sepanjang kira-kira enam tahun Ahmad Said menerajui negeri, beliau menguruskan kepentingan rakyat dengan baik, meninggalkan legasinya tersendiri namun takdir Allah menentukan segalanya. - UTUSAN ONLINE