Menurutnya, kegagalan itu dilihat menerusi ke­nyataan Wan Rosdy yang menyatakan hanya kawasan tum­puan pelancong sahaja dikenakan bayaran iaitu di Tanah Rata, Brinchang dan Kea Farm.

Malah katanya, kenyataan Wan Rosdy bahawa pengutipan bayaran tujuh hari seminggu itu tidak menjejaskan penduduk di sini juga membuktikan Barisan Nasional (BN) tidak mendengar suara hati mereka.

“Di sini ada lapan kawasan pendudukan utama iaitu di Kampung Raja, Kuala Terla, Tringkap, Brinchang, Tanah Rata, Habu, Ringlet dan Lembah Bertam. Tanah Rata dan Brinchang merupakan kawasan terbesar didiami penduduk.

“Kedua-dua kawasan ini masing-masing merupakan pusat pentadbiran dan pusat perniagaan utama. Oleh itu, penduduk di seluruh daerah ini akan pergi ke dua tempat ini untuk menjalankan aktiviti ha­rian sama ada urusan rasmi atau membeli-belah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu juga dilihat cuba mempertahankan kadar bayaran tempat letak kenderaan yang melampau dan tidak munasabah itu dengan menyatakan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) akan menawarkan diskaun 25 peratus kepada mereka yang membayar untuk tempoh lebih daripada sebulan.

“Pada hakikatnya, diskaun itu ditawarkan untuk pembayaran dalam tempoh 12 bulan sahaja iaitu RM720 dan bukannya untuk tempoh yang lebih pendek.

“Bayaran bulanan sebanyak RM60 sememangnya adalah lebih mahal daripada Temerloh (RM50) dan Kuantan (RM52). Adakah beliau rasa perkara ini adil kepada penduduk di sini sehingga sanggup menyatakan ia tidak akan menjejaskan mereka,” katanya.

Sementara itu Manogaran berkata, beliau juga mahu mengetahui pendirian calon BN, Ramli Mohd. Nor berhubung isu berkenaan.

“Apakah pendirian beliau, sama ada berani untuk bersama-sama warga Cameron Highlands bagi mendesak kerajaan negeri mendengar suara rakyat dan mempertimbangkan semula keputusan itu,” katanya.