Beliau menjelaskan, lawatannya ke daerah itu adalah atas urusan rasmi kerajaan di bawah tanggungjawabnya sebagai Tim­balan Perdana Menteri.

Jelasnya, beliau sepatutnya dijadualkan ke Julau selepas pemilihan PKR selesai di sana.

“Kalau ikut jadual, lawatan saya sepatutnya selepas pemilihan parti dan ia tiada isu. Tetapi, berlaku penangguhan pemilihan berkenaan iaitu pada 10 November ini. Saya pun tidak bertanding. Jadi, saya berkempen untuk siapa?

“Walaupun ia negeri pembangkang, lawatan saya ke sana adalah untuk menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan mengambil berat. Kita tidak me­lakukan diskriminasi. Itu sahaja yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri lawatan rasmi ke Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya yang mempersoalkan kehadirannya ke Julau, Selasa lalu yang hampir dengan tarikh pemilihan PKR Cabang Julau, Sabtu ini.

Latheefa memberitahu, lawatan berkenaan tidak wajar dan sangat dipersoalkan kerana beberapa isu membabitkan bahagian berkenaan.

Peguam PKR itu berkata, antaranya Ahli Parlimen Julau, Larry Sng sendiri kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain pertambahan mendadak ahli di kawasan itu kepada 13,000 orang.

Sementara itu di BANGKOK, Ketua Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata lawatan Wan Azizah itu menimbulkan ‘spekulasi tidak baik’ kerana ia dilakukan pada masa yang tidak sesuai.

Beliau juga difahamkan lawatan Wan Azizah ke Julau atas kapasitinya sebagai Timbalan Perdana Menteri tetapi tindakan beliau pergi ke daerah itu telah menimbulkan pelbagai takrifan.

“Ini kerana Julau merupakan tempat yang kontroversi dalam pemilihan parti PKR* mungkin masa (lawatan) itu tidak sesuai sehingga menimbulkan spekulasi,” katanya kepada Bernama.