Bahkan, baru dua hari lepas Saifuddin Nasution sekali lagi mengeluarkan nasihat yang sama.

Kata beliau, pemimpin parti mestilah menghormati mandat, amanah serta kepercayaan anggota parti dengan menghadiri mesyuarat.

“Saya ambil ini sebagai satu peringatan umum kepada semua termasuk diri saya sendiri. Maknanya tuntutan yang paling minimum dalam disiplin organisasi ialah menghormati mandat, amanah dan kepercayaan anggota parti,” katanya di Putrajaya, kelmarin mengulas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sudah beberapa kali gagal hadir mesyuarat biro politik PKR.

Namun, amaran itu cuma sekadar ‘angin lalu’ apabila Mohamed Azmin masih gagal menghadirkan diri ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu hari ini.

Selain beliau, yang turut tidak kelihatan ialah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari.

Ketiadaan Mohamed Azmin itu dilaporkan portal Malaysiakini yang mendapat pengesahan daripada Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil. Ahmad Fahmi walau bagaimanapun enggan mengulas lanjut. - UTUSAN ONLINE