Kepada wartawan Mingguan Malaysia, KAMIL MASLIH, beliau memberitahu, asalkan mengakui kesilapan lalu dan ikhlas mendengar suara orang muda, UMNO sentiasa berpeluang meraih kembali sokongan rakyat.

KUALA LUMPUR 29 September 2018-EXCO Puteri UMNO,Puteri Farhana
 

Apakah pengajaran terbesar selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)?

Pengajaran daripada PRU-14, suara orang muda adalah kuat. Malah, kita kalah ba­nyak di saluran-saluran orang muda. Kita dahulu mungkin kurang peka dengan pendapat dan harapan anak muda, tidak seperti parti di sebelah sana. Kita kena mengakui kesalahan kita itu dan betulkan semula.

Bagaimana pula caranya untuk UMNO kembali menjadi relevan?

Oleh kerana ‘Malaysia baharu’ menunjukkan banyak orang muda mengundi, maka kita kena dekati mereka ikut peredaran semasa. Mungkin cara kita lapuk sebelum ini. Kita sepatutnya mendahulukan mereka serta memberi mereka ruang bercakap, bukannya hanya menjadikan mereka sebagai tukang sorak.

Kebelakangan ini timbul desas-desus UMNO membentuk kerajaan perpaduan de­ngan parti-parti dalam kerajaan. Apakah pendapat saudari?

Saya percaya perkara pertama kita perlu lakukan adalah menguatkan parti kita. Kalau kita pembangkang, jadi pembangkang konstruktif. Jangan berada dalam penafian untuk bergabung dengan pihak lain bagi menjadi balik kerajaan. Saya percaya kalau kita kuat, orang akan sertai kita, sama seperti waktu dahulu orang berebut untuk menyertai kita. Kita tidak perlu menyertai parti sekian-sekian untuk menjadi kerajaan campuran.

Bagaimana sebenarnya peluang UMNO untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat?

Kita hanya perlu tengok Janji 100 hari Pakatan Harapan, mi­nyak tidak turun dan sekarang ini ada pula SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan). Mungkin dahulu, ada juga orang UMNO sendiri yang terkesan dengan janji-janji mereka tetapi sekarang terbukti tiada parti lebih baik daripada parti kita dahulu dan kita pun mendahulukan rakyat. Saya percaya dalam tempoh 10 tahun, jika kita be­tulkan balik kesalahan lalu, kita akan dapat balik soko­ngan rakyat tetapi kita perlu kuat dahulu.

 

Apakah pendapat saudari mengenai Perhimpunan Agung UMNO kali ini yang mana parti tidak lagi berkuasa sebagai kerajaan?

Saya ada pilihan untuk menyertai semasa parti sedang berkuasa tetapi saya pilih menyertai semasa parti sedang kalah. Ini adalah waktu terbaik untuk memperbetulkan semula, untuk mendengar balik apa kita perlu ubah. Kalau saya sertai waktu dahulu, saya mungkin sudah kena cantas. Ramai orang dahulu sertai ke­rana kepentingan peribadi tetapi orang sekarang sertai kerana parti. Ini yang membuatkan semangat saya berkobar-kobar. Oleh sebab kita bukan lagi kerajaan, banyak kita boleh buat untuk menyantuni rakyat dan mendengar luahan mereka. Kita kembali kepada perjuangan asal kita.