Sebaliknya mereka yang bersama dalam pasukan reformasi 20 tahun yang diperkenalkan Rafizi Ramli itu menyokong penuh Naib Presiden PKR tersebut bergandingan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi parti itu selepas ini.

Mereka yang menyokong Rafizi sebagai Timbalan Presiden itu ialah calon Ketua PKR Cabang Arau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd. Jalil; calon Ketua PKR Cabang Kangar, Noor Amin Ahmad (Ahli Parlimen Kangar); calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kangar, Nor Azam Karap (ADUN Kuala Perlis) dan calon Ketua PKR Cabang Padang Besar, Amran Kamarudin.

Dalam masa sama, mereka juga menzahirkan rasa kecewa dengan Mohammad Faisol sebagai Pengerusi PKR negeri yang mengeluarkan kenyataan tanpa mengambil kira pendirian pemimpin-pemimpin lain di dalam parti.

Asrul Nizan berkata, beliau yang mewakili wakil rakyat PKR yang lain menyangkal sama sekali dakwaan Mohammad Faisol bahawa parti itu di negeri ini menyokong Mohamed Azmin sebagai Timbalan Presiden.

“Sebaliknya kami dari pasukan reformasi 20 tahun Perlis yang bertanding di ketiga-tiga cabang di negeri ini menyokong sepenuhnya Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR yang baharu dalam pemilihan parti itu nanti.

“Sikap Rafizi mengekalkan agenda perjuangan reformasi dan perjuangan untuk rakyat selama ini tanpa memikirkan kepentingan-kepentingan lain membuatkan kami tanpa berselindung menyokong penuh beliau (Rafizi).

“Malah janji Rafizi untuk menjaga kebajikan anggota parti dengan akan mengusahakan satu koperasi untuk anggota PKR juga cukup baik sekali.

“Dengan koperasi ini, parti boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada anggota PKR di peringkat bawah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu Utusan Online melaporkan PKR negeri menyokong penuh Mohamed Azmin sebagai Timbalan Presiden parti itu seterusnya membentuk gandingan mantap bersama Anwar sebagai Presiden.

Pengerusinya, Mohammad Faisol dilaporkan berkata, kewibawaan Mohamed Azmin sudah terbukti apabila dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selain merupakan seorang tokoh di dalam PKR sejak zaman reformasi lagi.

Semalam Mohamed Azmin mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu sekali gus bakal menentang Rafizi yang terlebih dahulu mengemukakan pencalonan.

Manakala bagi jawatan Presiden, Anwar menang tanpa bertanding apabila menjadi satu-satu­nya calon yang menghantar borang ke Ibu Pejabat PKR di Peta­ling Jaya, Selangor semalam bagi me­rebut jawatan tersebut.- UTUSAN ONLINE