Dalam program lawatan mahabbah wakil rakyat ke wad-wad hospital itu, para pesakit dirai termasuk menerima sumbangan duit raya berserta kuih raya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Rombongan yang diketuai Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid itu kemudian dibawa melawat wad bersalin, wad kanak-kanak, wad pesakit lelaki dan wanita.

Che Alias berkata, program ziarah itu bertujuan menyedarkan masyarakat tentang tanggungjawab sosial terhadap golongan yang memerlukan bantuan selain merupakan aktiviti yang sering dilakukan bukan sahaja di Hospital Kemaman malah di seluruh Parlimen Kemaman menerusi Pas Kawasan atau cawangan.

CHE ALIAS HAMID bertanya khabar keadaan seorang pesakitCHE ALIAS HAMID bertanya khabar keadaan seorang pesakit sempena lawatan mahabbah wakil rakyat Pas ke Hospital Kemaman petang semalam. - UTUSAN ONLINE

Tambahnya, program itu merupakan program tahunan Pas Kawasan Kemaman sejak sekian lama dahulu dan sokongan terhadap usaha serta tindakan yang diambil sebagai organisasi Islam yang prihatin.

“Kata-kata perangsang dan simpati merupakan antara terapi yang boleh meringankan beban pesakit. Ini kerana, tanpa semangat yang kuat, pesakit tidak mempunyai kekuatan untuk mengharungi keperitan dan penderitaan akibat penyakit yang ditanggung.

“ Ia bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim malah mengeratkan perpaduan tanpa mengira batasan agama, bangsa dan warna kulit,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Che Alias yang juga Yang Dipertua Pas Kemaman berkata, mereka yang mengalami penyakit kronik perlu dikuatkan jiwa dan emosinya agar dapat dibina semula keyakinan diri mereka, meskipun diduga dengan masalah kesihatan.

“Dengan menziarahi pesakit-pesakit kita dapat menyelami dan menghayati penderitaan mereka yang sedang menghadapi musibah,” ujarnya.

Yang turut hadir, Pegawai Perubatan Kanan, Hospital Kemaman, Dr. Mat Noh Karim; Pegawai Khas Agama Pejabat Menteri Besar, Nik Muhammad Nasri Nik Malek; ADUNA Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili; ADUN Chukai, Hanafiah Mat; ADUN Air Putih, Abdul Razak Ibrahim dan Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh. 

Selain 160 orang pesakit, rombongan itu juga turut meraikan 70 kakitangan dan 20 pengawal keselamatan Hospital Kemaman dengan memberi sumbangan kuih raya. - UTUSAN ONLINE